PROLOG

BLOG INI "AKU' HASILKAN UNTUK MENGUTARAKAN PENDAPAT DAN PANDANGAN TERHADAP APA YANG BERLAKU DI SEKELILING. ADALAH LEBIH BAIK "AKU" MENTERJEMAHKAN SESUATU MELALUI TULISAN AGAR SENANG DAN BEBAS BAGIKU UNTUK MENYATAKAN PENDAPATKU. BUKAN NIAT UNTUK MENYINGGUNG TAPI ANGGAPLAH KATA-KATAKU SEBAGAI UBAT PELEGA KESAKITAN. PAHIT NAMUN MAMPU MENGUBATI PENYAKIT-PENYAKIT YANG BERSARANG DALAM JIWA.

BAGI YANG TIDAK MENGEMARINYA "AKU" NASIHATKAN AGAR BEREDAR DARIPADA BLOG INI DAN KEPADA YANG BERMINAT DIPERSILAKAN UNTUK MEMBACA ISI KANDUNGANNYA. SESUATU ITU PERLU DITERIMA DENGAN PANDANGAN YANG TERBUKA.

MUNGKIN PANDANGAN KALIAN AGAK BERBEZA NAMUN AKU TETAP MENGHORMATI PANDANGAN KALIAN. "AKU" JUGA BERSEDIA UNTUK BERKONGSI PENDAPAT KALIAN WALAU PUN BERBEZA DENGANKU.

WASIAT PALING PENTING DARIKU...

IZINKAN AKU MELUAHKAN APA YANG TERPENDAM, AGAR JIWAKU TIDAK SENTIASA BERGOLAK. BIAR DAN RELAKANLAH MELAYU INI TERUS BERNYAWA !!!

06 Januari 2009

KEMATIAN OTAK MENURUT HUKUM SYARAK

Pernahkah anda melihat seorang muslim sedang koma di unit jagaan rapi sebuah Hospital dan dibantu dengan alat sokongan hayat ?Jika ditanya kepada pakar perubatan berkenaan, kita diberitahu secara klinikalnya pesakit tersebut hanya hidup dengan sokongan alat berkenaan sedangkan otaknya sudah tidak berfungsi. Apakah maksudnya ? Adakah ia bermaksud pesakit tersebut sudah meninggal dunia ? Ia kelihatannya masih hidup kerana jantungnya masih bergerak dan dia masih bernafas dengan bantuan alat berkenaan. Persoalannya apakah ia masih hidup menurut hukum syarak ? Keduanya bagaimana hukumnya mencabut alat sokongan hayat tersebut menurut Islam. Inilah diantara persoalan-persoalan yang agak berat dirungkai.

Namun inilah persoalan yang terpaksa penulis selesaikan tidak berapa lama dahulu apabila diminta memberikan pandangan oleh waris keluarga mangsa kemalangan jalanraya yang mencadangkan untuk menanggalkan alat sokongan hayat pesakit tersebut yang sudah lebih tiga hari terlantar di hospital dengan bergantung sepenuhnya dengan alat berkenaan.

Persoalan ini bukanlah persoalan yang mudah kerana ia melibatkan nyawa seorang muslim. Jika kematian otak adalah diakui sebagai kematian menurut syarak maka sudah tentu alat berkenaan harus ditanggalkan kerana jika dibiarkan dikhuathiri akan menyiksa mayat. Sebaliknya jika ia belum lagi dianggap mati, maka alat berkenaan hendaklah terus dipasang.

Kematian otak atau brain death ditakrifkan sebagai perberhentian sepenuhnya atau kegagalan pemulihan fungsi otak. Ia bererti akibat daripada kecederaan parah kepada otak, bekalan darah daripada badan ke otak terhalang. Di peringkat ini ventilator hanya semata-mata bertindak membekalkan oksigen secukupnya agar jantung tetap membekalkan darah dan juga berfungsi membekalkan penafasan untuk jangksamasa terhad. Setelah otak mati , hanya menunggu masa kepada organ jasad yang lain turut serta. Kebiasaannya seseorang pesakit itu akan diistiharkan mati otak secara sah setelah melalui 12 ujian.

Walaupun ahli-ahli perubatan seluruh dunia masih belum dapat mencapai kesepakatan mengenai sama ada kematian otak dianggap sebagai kematian yang sah menurut undang-undang, namun di dalam konteks Islam kita perlu kepastian agar kita tidak menyiksa orang yang sedang dicabut ruh itu.

Jika kita mengkaji pendapat jumhur ulama, kematian itu ditakrifkan sebagai pemisahan di antara ruh dengan jasad. Imam Al Ghazali di dalam Ihya Ulumiddin misalnya menjelaskan bahawa kematian itu berlaku hanya setelah berpisahnya sepenuhnya antara jasad dan ruh. Ini bermakna jasad itu tidak lagi mempunyai ruh. Namun demikian di dalam kes pesakit yang bergantung hidup dengan alat sokongan hayat kita tidak dapat memastikan pemisahan ruh dengan jasad ini dengan mata kasar.

Di dalam menghadapi isu kematian otak ini sebenarnya belum ada pendapat ulama yang putus sama ada kematian otak merupakan pemisahan jasad dan ruh. Lebih-lebih lagi ahli-ahli perubatan sendiri seperti dinyatakan tadi belum sepakat sama ada kematian otak adalah kematian yang sebenarnya. Oleh yang demikian bagaimanakah kita boleh menjelaskan kepada masyarakat berhubung perkara ini ?

Dr. Bakr Abu Zaid seorang ulama Fiqh terkemuka dari Arab Saudi berpendapat bahawa kematian otak tidak boleh ditakrifkan sebagai pemisahan antara jasad dan ruh. Namun ini tidak pula bermakna kematian otak bukan tanda-tanda kematian sepertimana apabila jantung berhenti berfungsi.Tambah beliau lagi syariah menegah kita memutuskan mengenai kematian sekiranya terdapat keraguan mestipun tanda-tanda kematian itu wujud. Namun beliau menyerahkan kepada pertimbangan ahli-ahli perubatan yang berkenaan untuk menilai sendiri keadaan pesakit berkenaan untuk menentukan soal kematiannya. Misalnya jika ahli perubatan berkenaan berpendapat bahawa pesakit itu hanya hidup dengan alat sokongan hayat, maka adalah dibenarkan alat berkenaan ditanggalkan kerana alat berkenaan hanya memanjangkan penderitaannya yang sedang mengadapi sakaratul maut.

Di dalam menanggapi persoalan sama ada boleh atau tidak kita menanggalkan alat sokongan hayat, tokoh agama tempatan Datuk Ustaz Haji Ismail Haji Kamus menjelaskan, kita perlu merujuk ahli perubatan berkenaan mengenai dua perkara. Pertamanya adakah ahli perubatan tersebut mengesahkan otaknya sudah mati dan tiada tanda-tanda boleh aktif semula. Keduanya adakah pesakit tersebut masih bernafas adakah nafasnya itu bergantung sepenuhnya oleh alat sokongan hayat? Jika jawapan kepada kedua-dua soalan tersebut adalah ya maka hukumnya adalah wajib alat berkenaan ditanggalkan kerana pesakit tersebut sebenarnya sudah meninggal dunia. Beliau merujuk kepada bagaimana Almarhum Raja Hussein, Jordan juga meninggal dunia setelah warisnya memutuskan untuk menanggalkan alat berkenaan.

Kematian otak jelas hanya merupakan tanda-tanda kematian. Ia bukan kematian sebenarnya iaitu seperti ditakrifkan secara tradisional iaitu pemisahan antara jasad dan nyawa. Oleh yang demikian kematian otak belum boleh diputuskan sebagai kematian sebenar. Kita perlu merujuk kepada ahli-ahli perubatan disamping melihat tanda-tanda kematian yang lain untuk menentukan kematian sebenar. Di dalam menentukan bilakah alat sokongan hayat harus ditanggalkan kita perlu merujuk kepada sekurang-kurangnya dua perkara tersebut iaitu otaknya dan kedua pernafasannya. Ini bagaimanapun tidaklah bermakna kematian berlaku sebaik sahaja alat tersebut ditanggalkan . Kematian hanya berlaku setelah jasad berpisah sepenuhnya dari jasad.

Apa yang penting apabila berada di dalam situasi sebegini , keputusan dan tindakan pantas dan tepat ahli waris dan ahli perubatan benar-benar mustahak agar jiwa seseorang Islam akan benar-benar kembali kepada Allah dengan tenang dan diredhai. Wallahualam.



Chat online and in real-time with friends and family! Windows Live Messenger

Tiada ulasan:

Catat Ulasan